BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 13, 2009

KARANGAN: PENCEMARAN

PENCEMARAN SUNGAI

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

KARANGAN : ISU KESIHATAN

KESIHATAN ASAS KEBAHAGIAAN

“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.

Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat. Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.

Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.

KARANGAN: GEJALA MEROKOK

GEJALA MEROKOK DALAM KALANGAN REMAJA

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

KARANGAN: ISU PELANCONGAN

ISU-ISU PELANCONGAN DI NEGARA INI

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.

· Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.

· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

· Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.
· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.


· Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.

· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN SESUATU KAWASAN BERPOTENSI SEBAGAI KAWASAN PELANCONGAN
Bentuk muka bumi:Bergunung ganang; Aktiviti mendaki gunung / tracking+cth gunung.

Udara yang nyaman dengan suhu yang rendah dan tumbuhan semula jadi yang menghijau.Jeram dan air terjun untuk mandi manda + cth lokasi.Gizar / kawah gunung berapi + cth gunung berapi.
Pantai yang berpasir sesuai untuk bersantai + cth lokasi
.Pulau / Laut yang jernih dan mempunyai terumbu karang sesuai untuk selam skuba +cth lokasi.
Kawasan paya yang kaya dengan reptilia spt buaya.Tasik buatan manusia / semula jadi sesuai untuk memancing/ berperahu+ cth tasik.Sungai yang sesuai untuk berkayak / memancing + cth sungai.
Iklim:Suhu 27 0C dan panas sepanjang tahun sesuai untuk mandi-manda +cth nama pantai.Suhu bawah 0° C pada musim dingin menyebabkan salji turun dan sesuai untuk ski.
Pemandangan yang menarik:Tumbuhan semula jadi yang menghijau dan menyamankan spt terdapat bunga reflesia.Pandangan batu kapur spt stalaktit dan stalakmit.Gua yang menarik + cth gua.Kesan sejarah + cth lokasi.Haiwan spt penyu bertelur +cth pantai.

Zoo yang menarik minat pelajar sekolah; muzium + cth.Pusat Sains spt roket ke angkasa, astronomi + ctli lokasi.
Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi spt hotel bertaraf lima bintang + cth, padang golf,pusat membeli-belah + cth; penukar wang asing.
Ketersampaian – kawasan pelancongan dihubungi dengan jalan raya keretapi /jalan laut:, feri / lapangan terbang +cth lapangan terbang / pelabuhan.
Sikap rakyat yang peramah dan masyarakat majmuk menarik pelancong.
Peranan agensi + (nama agensi + peranan).
Peranan kerajaan spt intensif cukai dari kerajaan, persidangan antarabangsa.
Kerjasama serantau spt Tahun Melawat ASEAN .
Kedudukan yang strategik / laluan perdagangan timur-barat.
Modal mencukupi untuk membina hotel, chalet dari pelabur tempatan / swasta +
Kebudayaan tempatan / seni, budaya,perayaan+cth.
Harga barangan yang murah/ dikecualikan cukai menarik pelancong.
Keselamatan terjamin/ pelancong merasa selamat/keselamatan pelancong.

KEPENTINGAN PELANCONGAN
Pendapatan negara + RM? .Memajukan bandar-bandar pelancongan spt Melaka, Kuala Kangsar.Peluang pekerjaan bagi penduduk sekitar +cth.Pemangkin kepada pembangunan kawasan pelancongan spt infrastruktur / kemudahan asas.Memajukan / menaikkan taraf jalan raya / keretapi / pelabuhan / lapangan terbang.Menggalakkan industri kraftangan / desa.Memajukan bekas lombong spt dijadikan padang golf, rekreasi +cth.Hubungan dua hala dengan negara asal pelancong.

KESAN PELANCONGAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Penebangan hutan untuk membuka kawasan pelancongan spt membina hotel, jalan raya, taman rekreasi padang golf telah mengakibatkan pelbagai.Kepupusan pokok berharga + cth pokok.Peningkatan kadar suhu kerana kurangnya proses fotosintesis yang menyebabkan bertambahnya kandungan karbon dioksida, kurangnya proses sejat peluhan; muka bumi terdedah kepada sinaran matahari.Habitat haiwan terganggu rantaian makanan haiwan terganggu -haiwan pupus + cth haiwan.Kemusnahan kawasan tadahan hujan.Tanah terdedah kepada hakisan hujan dan matahari; berlaku tanah runtuh gelangsar tanah.Bahan terhakis dialirkan ke sungai menyebabkan sungai keruh, sungai cetek, banjir kilat mudah berlaku.Sungai/pantai tercemar kerana pembuangan sampah oleh pelancong / hotel + cth sungai / pantai.Pembinaan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar dengan bahan hakisan.Kumbahan dari hotel dan chalet yang dialirkan ke sungai dan laut telah mencemarkan sungai dan laut berkenaan + cth lokasi / sungai.Terumbu karang pupus kerana diambil sebagai cenderamata.Kenderaan yang membawa pelancong mengeluarkan karbon monoksida yang mencemarkan udara; menyumbang kepada kesan rumah hijau; bunyi bising.Pelancongan di kawasan gua / kawasan batu kapur telah mengganggu hidupan spt kelawar.

USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Membanyakkan kawasan pelancongan spt pulau-pulau yang airnya jernih dan berbatu karang + cth.Membina banyak hotel yang bertaraf lima bintang, padang golf + cth.Menambah lesen agensi pelancongan.Pemuliharaan kawasan-kawasan bEsejarah, kawasan pelancongan sedia ada+cth.Membuka kawasan hutan simpan untuk trekking + cthMembuka kawasan tasik untuk aktiviti memancing,bermain bot + cth tasik.Membina chalet yang sewanya rendah untuk menarik pelancong.Promosi oleh agensi kerajaan (agensi + usaha).Mengadakan persidangan / pameran antarabangsa + cth.Membaiki jalan raya / keretapi / lapangan terbang / pelabuhan supaya kawasan pelanconan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi spt keretapi Express Langkawi penerbangan MAS ke destinasi antarabangsa.Memberi pengurangan cukai kepada syarikat pelancongan untuk memajukan kawasan baru / membina hotel kos sederhana.Mengadakan kedai bebas cukai + cth lokasi, polis pelancong untuk menjamin keselamatan pelancong.

RENCANA: TELEFON BIMBIT

LARANGAN PELAJAR MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan perkhidmatan pos yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih menjimatkan masa dan wang. Oleh itu, banyak orang menggunakan telefon untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.

Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih berusia muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit?

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah.

Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Tuntasnya, langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak. Melalui perbincangan saya di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.

RENCANA: ISU PENGANGKUTAN AWAM

ISU PENGANGKUTAN AWAM

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.


Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.

Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara.

Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan.

Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

KARANGAN: UNGKAPAN MENARIK

CONTOH UNGKAPAN MENARIK
Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.


KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an.

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat.

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti.

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

RINGKASAN: PENYALAHGUNAAN DADAH

BAHAGIAN A
Tulis ringkasan tentang faktor-faktor berlakunya penyalahgunaan dadah.

Dadah ialah sejenis bahan kimia yang boleh mendatangkan kemudaratan apabila disalahgunakan. Dadah dapat mengubah fungsi tubuh badan seseorang sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Sebenarnya, kerajaan sudah melakukan pelbagai usaha untuk memerangi musuh utama negara ini. Namun demikian, sehingga hari ini usaha untuk memerangi dadah masih belum menampakkan hasil yang benar-benar berkesan. Berdasarkan kajian yang dilakukan, salah satu faktor yang membawa kepada penyalahgunaan dadah ialah pihak yang berkenaan tidak mengetahui bahaya dadah dan kesan sebagi akibat pengambilan dadah. Selain itu, kekerapan bergaul dengan kawan-kawan yang menghisap dadah pun menjadi faktor berlakunya masalah ini. Malah ada antara mereka begitu mudah terpengaruh sebagai akibat tidak mahu diejek oleh kawan-kawan.


Seseorang yang ingin mencari ketenangan akan memilih jalan mudah dengan menghisap dadah. Golongan-golongan ini akan berkhayal seolah-olah berada di dunia yang lain. Seseorang yang dibesarkan dalam rumah tangga yang bercelaru juga sering terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Hal yang demikian kerana ibu bapa yang berkerjaya tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberikan perhatian kepada anak-anak. Oleh sebab itu, anak-anak dibiarkan mencari kebebasan di luar rumah dan sebagai akibatnya mudahlah mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Kesan fizikal sebagai akibat penyalahgunaan dadah dapat dilihat daripada beberapa aspek. Antaranya, kesan terhadap sistem penting dalam tubuh manusia seperti sistem pernafasan, saraf, jantung, sistem metabolisme, dan otot-otot. Secara tidak langsung, kehidupan yang dilalui oleh mereka menjadi tidak terurus dan tidak normal. Kesan mental pula ialah seseorang itu akan hilang kawalan diri. Mereka tidak mempunyai tanggungjawab dan tidak segan silu melakukan perkara yang mengaibkan. Mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi sehingga boleh melakukan pelbagai perbuatan jenayah seperti mencuri dan membunuh.

Dadah bukanlah mudah untuk dimusnahkan kerana pengeluaran dadah dan permintaannya sentiasa meningkat saban tahun. Oleh itu, pelbagai pertubuhan sukarela dan badan-badan bukan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani masalah ini.

KARANGAN: PERPADUAN KAUM

Soalan: Perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu diperkukuh dan dipertahankan. Terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan perpaduan kaum di negara ini terus utuh. Bincangkan penyataan ini.

Isi-isi Penting
Individu = memiliki kesedaran
= berusaha untuk merapatkan hubungan dengan kaum-kaum lain
= bergaul dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum
dan agama


Keluarga = mendidik anak-anak tentang kepentingan perpaduan antara
kaum
= berusaha untuk membentuk keluarga yang berfikiran sihat dan
rasional
= ibu bapa perlu memberikan galakan kepada anak-anak agar
bergaul dengan masyarakat berbilang bangsa


Masyarakat = mengadakan kegiatan yang dapat menyatupadukan masyarakat
berbilang kaum seperti gotong-royong dan hari keluarga
= bersikap toleransi dan saling memahami antara satu sama lain
= tidak bersikap prejudis terhadap kaum-kaum lain
= menghormati hak dan keperluan kaum-kaum lain seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan dan kontrak sosial


Kerajaan = menganjurkan kempen yang berkaitan dengan pembentukan
masyarakat yang sejahtera dan saling bertolongan
= menunaikan hak semua kaum tanpa adanya sikap pilih kasih
= menganjurkan program yang dapat disertai oleh semua kaum
= menyekat anasir-anasir dalaman dan luaran yang bertujuan untuk
memporak-perandakan masyarakat

KARANGAN: PERPADUAN KAUM

Frasa/Ungkapan yang Menarik dan Penting

Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini.

Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek.

Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum.

Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi.

Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.

RINGKASAN: PERPADUAN KAUM

Tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.


Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.

KARANGAN: KOKURIKULUM

Kepentingan Kokurikulum

Contoh Pendahuluan
Kegiatan kokurikulum ialah kegiatan luar bilik darjah yang baik. Pihak sekolah sering mengingatkan pelajar agar terlibat secara aktif dalam kegiatan ini. Kegiatan ini perlu disertai oleh setiap pelajar kerana mendatangkan banyak manfaat.

Contoh Isi Penting
Kepentingannya ialah pelajar dapat membina keterampilan diri yang cemerlang. Karisma pelajar akan terserlah melalui kegiatan ini. Pelajar dapat menggunakan kesempatan yang ada untuk mencungkil bakat dan keupayaan dalam pelbagai bidang seperti sukan dan kepimpinan.

Contoh Penutup
Kesimpulannya, kegiatan ini perlu menjadi keutamaan. Banyak faedah yang akan kita peroleh. Jadi, sertailah kegiatan kokurikulum dengan penuh bersemangat agar kita dapat menjadi pelajar yang aktif dan cemerlang.

KARANGAN: PERMAINAN TRADISIONAL

BAHAGIAN B
Usaha Menggalakkan Permainan Tradisional

Contoh Pendahuluan
Permainan tradisional merupakan warisan zaman-berzaman. Namun begitu, permainan ini semakin dilupakan. Usaha-usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memastikan permainan ini tidak luput ditelan zaman.

Contoh Isi Penting
Pihak kerajaan hendaklah mempergiat usaha untuk menggalakkan rakyat meminati permainan ini melalui promosi secara besar-besaran. Promosi dan kempen mestilah mengenai golongan sasaran melalui pelbagai kementerian yang ada. Setiap rakyat hendaklah menyokong segala usaha ini.

Contoh Penutup
Kesimpulannya, permainan tradisional perlu dipertahankan. Kerjasama daripada semua pihak amat penting. Janganlah kita melupakan warisan bangsa kita.

KARANGAN: GOTONG-ROYONG

Kepentingan Amalan Gotong-royong

Contoh Pendahuluan
Kegiatan gotong-royong merupakan amalan turun-temurun. Kegiatan ini masih diamalkan di kawasan kampung. Oleh itu, kegiatan ini perlu disemarakkan kembali kerana banyak manfaatnya kepada masyarakat.

Contoh Isi Penting
Kegiatan ini dapat mengeratkan silaturahim antara sesama kita. Masyarakat yang sejahtera dapat diwujudkan. Usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dapat direalisasikan melalui kegiatan seperti ini.

Contoh Penutup
Kesimpulannya, amalan ini hendaklah dipupuk kepada golongan muda. Amalan yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” ini mampu mewujudkan sebuah negara yang bersih, harmoni, dan bersatu padu.

TRAGEDI EMPAT DISEMBER: TEKNIK PLOT

TEKNIK PLOT

1) Imbas muka
· Azam termenung sendirian di Pulan Rangsang sambil memikirkan keadaan ibunya. Dia menjangkakan bahawa ibunya memerlukannya untuk menghadapi acara pengebumian mangsa nahas

2) Imbas kembali
· Azam membandingkan keadaan percutian mereka di Port Dickson suatu masa dahulu dengan keadaan perkhemahan yang akan ditempuhinya pada hari esok
· Azam teringat perbualan telefon antara dia dengan ayahnya.

3) Pemerian
· Menggambarkan keadaan air yang bertebaran tidak tentu hala, bergelombang ke tepi dan menghasilkan buih yang memutih ketika bot yang membawa Kamarul Azam dan kawan-kawannya sedang melunjur laju
· Azam nampak perubahan mendadak pada wajah ibunya itu.
· Bandar Johor Bahru masih sibuk dengan orang dan kenderaan.


4) Dialog
· “Semoga mereka selamat,” desis Lina Lim.
“Ya, mudah-mudahan,” balas Zanawati.

5) Monolog dalaman
Mereka perlu ditangkap dan dihukum dengan wajar. Begitulah Azam memutuskan.

6) Saspens
Azam dan Razi ditawan oleh orang-orang yang memakai serkup muka dan dibawa ke tengah laut.

ANAK DIN BIOLA: TEKNIK PLOT

TEKNIK PLOT

1) Dialog
a) Pak Jais memberitahu Budiman akan menerima Pingat Jasa Kebaktian oleh Sultan
b) Perbualan antara Pak Man Tukang Jahit dengan Budiman ketika Budiman mencuba baju Melayu yang akan dipakainya sebelum mengambil pingat bagi pihak arwah ayahnya
c) Pertengkaran antara Pak Mat Tukang Masak dengan Budiman ketika Pak Mat Tukang Masak memarahi Budiman yang berehat seketika selepas bekerja. Budiman yang geram akan Pak Mat, mengungkit peristiwa dia ternampak Pak Mat membawa biola pada waktu malam.
d) Perbincangan antara Budiman, Chong dan Chandra tentang cara untuk mendapatkan wang bagi membolehkan Budiman membeli biola
e) Budiman, Chong dan Chandra berbual-bual tentang masa depan mereka.
e) ”Siapa nama kamu?” Dia bertanya.
”Nama saya Amran.” Aku menjawab selamba.
”Kamu berasal dari mana?” Dia bertanya lagi.
”Saya...saya berasal dari Terengganu.” Aku menjawab sambil melemparkan senyuman.

2) Monolog dalaman
a) Budiman terkenangkan kampung halamannya, Kampung Tiga semasa dalam perjalanan ke Petaling Jaya untuk menerima pingat
b) Budiman berfikir berseorangan pada waktu malam lantas teringatkan Lina yang mungkin sedang tidur.

3) Pemerian
a) Suasana di Rumah Bonda ketikan gotong-royong diadakan
b) Rumah usang itu terletak di tepi pantai. Rumah tua itu benar-benar telah tua dan hampir roboh dipukul ombak.

4) Monolog
Peristiwa Budiman terjerit-jerit ketika bermimpi

5) Teknik imbas kembali
Pak Man Tukang Jahit menceritakan kisah Pak Mat Tukang Masak yang menipu tauke kedai buku untuk mendapatkan wang hasil jualan buku bapa Budiman

6) Teknik imbas muka
a) Mak Yah atau Supiah berpesan kepada Budiman dan anak-anak yatim di situ agar memasak makanan sendiri supaya dapat berjimat kerana belanja makan di kedai mahal
b) Budiman telah mengimbas perkara-perkara yang akan berlaku terhadap dirinya selepas bergelar juara termasuk terpaksa belajar bahasa Jepun kerana akan melanjutkan pelajaran ke sana dalam bidang muzik.

7) Saspens
a) Semasa menunggu keputusan pemenang, Budiman dan semua penonton termasuk Datin Siti Norbayu berdebar-debar. Pembaca tertanya-tanya mampukah Budiman menjadi juara kerana jika Budiman menang, Rumah Bonda akan menjadi masyhur.
b) Budiman ditangkap oleh Pak Mat Tukang Masak ketika cuba melarikan diri dari Rumah Bonda. Pembaca tertanya-tanya adakah rahsia Budiman akan dibongkar.
c) Peristiwa Budiman diculik dan ditahan oleh Pak Mat Tukang Masak dan kumpulannya. Pembaca tertanya-tanya kerana Budiman tahu bahawa kumpulan itu merupakan kumpulan penagih dadah.

KANANG: TEKNIK PLOT

TEKNIK PLOT

1) Dialog
Antara contoh dialog ialah:
a) “Jangan banyak fikir Michael.” Saya menegur Michael yang kelihatan resah. Koperal Michael hanya diam. (halaman 64)
b) “Aku belum cukup umur,” jawab saya pula.
“Pergilah berbaris. Cuba dulu,” pujuknya. (hlm. 15)

2) Saspens/suspens
Pembaca tertanya-tanya akan kesudahan yang dialami oleh Kanang setelah mengalami kecederaan yang begitu parah. Sebelum itu, pembaca juga tertanya-tanya sama ada Kanang dan anggota-anggota tentera yang lain mampu membunuh musuh atau tidak.

3) Imbas muka
Kanang telah menyatakan hasratnya untuk berjuang dalam bidang yang lain selepas bersara

4) Monolog dalaman
Ketika terjaga daripada mimpi buruk, Kanang telah berfikir sendirian tentang mimpi tersebut

5) Pemerian
Keadaan hidup Kanang yang serba susah dan kekurangan sejak kecil telah diceritakan melalui teknik ini
Kisah mimpi Kanang bahawa parang kesayangannya banyak berjasa kepadanya telah dipatah-patahkan, telah disampaikan melalui teknik ini
Matahari sudah naik dan teriknya sudah mula menggigit kepala. (hlm. 14)

PERBANDINGAN NOVEL: PERSOALAN KEGIGIHAN ANAK DIN BIOLA DENGAN TRAGEDI

Persoalan kegigihan sering diterapkan dalam novel. Berikan dua contoh peristiwa daripada novel Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 yang berkaitan dengan persoalan kegigihan.

Anak Din Biola
· Budiman gigih menghadapi kehidupan untuk mencapai cita-cita
· Budiman gigih berusaha untuk memenangi pertandingan Bintang Biola Remaja Kota Raya

Tragedi Empat Disember
· Azam gigih mencari jalan untuk melepaskan diri selepas ditawan oleh penjahat
· Azam gigih menjalankan aktiviti perkhemahan

PERBANDINGAN NOVEL: PERSAMAAN PENGAJARAN TRAGEDI DENGAN KANANG

PERSAMAAN PENGAJARAN NOVEL TINGKATAN 2 DAN TINGKATAN 3

Novel yang saya kaji ialah Anak Din Biola, karya Maaruf Mahmud dan Kanang Cerita Seorang Pahlawan, karya Maznan Noordin. Watak utama dalam Anak Din Biola ialah Budiman, manakala watak utama novel Kanang Cerita Seorang Pahlawan ialah Kanang.

Perwatakan Budiman yang digambarkan dalam novel tersebut ialah dia seorang remaja yang gigih. Dia gigih berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh apabila ditempatkan di Rumah Bonda. Kanang pula gigih melakukan pelbagai pekerjaan seperti pengangkut arang batu, penoreh dan tukang masak sebelum berkhidmat dalam tentera.

Selain itu, Budiman seorang yang berani membongkar rahsia Pat Mat Tukang Masak yang terlibat dalam kegiatan mengedar dadah kepada pihak polis. Kanang juga seorang yang berani menentang musuh dan berjaya membunuh pengganas komunis hingga menerima pingat keberanian daripada kerajaan.

Budiman juga seorang yang tabah menghadapai pelbagai rintangan untuk menjunjung cita-cita ayahnya dan akhirnya berjaya menjuarai Pertandingan Bintang Biola Remaja Kota Raya. Kanang juga seorang tentera yang tabah menghadapi dugaan dan pancaroba dunia. Dia sentiasa tabah apabila diarahkan untuk menjalankan tugas sama ada menentang musuh, mengawal atau dilantik sebagai ketua eskot.

KANANG: LATAR MASYARAKAT

LATAR MASYARAKAT

Masyarakat yang cinta akan tanah air dengan sepenuh jiwa raga
- Anggota tentera yang diketuai Kanang yang tabah berjuang mempertahankan keamanan negara daripada ancaman musuh, iaitu pengganas komunis walaupun mereka terpaksa menggadaikan nyawa mereka.

Masyarakat yang berpegang teguh kepada kepercayaan nenek moyang dan adat resam
- Kanang melakukan upacara tertentu, iaitu upacara “piring” dengan mempersembahkan makanan kepada dewa sebelum pergi berjuang supaya perjuangan yang bakal dihadapi selamat ditempuhi dan mencapai kejayaan.

Masyarakat yang prihatin tentang kebajikan orang lain
- Pegawai atasan dan rakan-rakan Kanan serta orang awam telah datang melawati dan menziarahi Kanang di hospital ketika terlantar selama setahun kerana cedera parah dalam pertempuran dalam Operasi Gerakan Pukat.

Masyarakat orang Iban di pedalaman Sarawak
- Kanang dilahirkan di rumah panjang dan hidup sebagai orang kampung pedalaman yang mengalami pelbagai peristiwa pahit dan manis.

Masyarakat tentera yang berdisiplin
- Kanang sangat berdisiplin setelah menyertai pasukan keselamatan

Masyarakat tentera yang patriotik
- Kanang sanggup berkorban jiwa dan raga demi melaksanakan perjuangan untuk membebaskan negara daripada ancaman pengganas.

Masyarakat Malaysia yang memandang tinggi jasa anggota pasukan keselamatan
- Kanang dianugerahi pelbagai pingat dan bintang sebagai mengenang jasa beliau dalam pasukan keselamatan.

PERBANDINGAN NOVEL: PENGAJARAN TRAGEDI DAN KANANG

Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan

Antara pengajaran yang terdapat dalam kedua-dua buah novel, iaitu novel Tingkatan 2, Tragedi Empat Disember (TED) dan novel Kanang Cerita Seorang Pahlawan (KCSP) ialah kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan.

Dalam TED, Kamarul Azam dan rakan-rakan berjaya mendarat di Tanjung Pangku dan mendirikan khemah sebelum malam menjelang. Kejayaan ini dicapai setelah membuat perancangan yang teliti dan mematuhi masa yang ditetapkan. Dalam KCSP pula, Kanang telah berjaya menamatkan latihan ketenteraannya walaupun dia kurang mahir berbahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Kejayaan ini dicapai kerana usaha gigih Kanang mempelajari kedua-dua bahasa tersebut.

Semasa makan, Kamarul Azam telah berjaya menghalau agas dan kelkatu berterbangan dan masuk ke dalam makanan mereka. Hal ini demikian kerana dia telah berusaha untuk mengumpulkan ranting kayu kering untuk dibakar bagi menghalau agas dan kelkatu. Dalam KCSP pula, Kanang telah berjaya mengesan jejak musuh dalam beberapa operasi termasuk Gerakan Pukat. Kejayaannya didorong oleh berkat semangat dan usahanya yang bersungguh-sungguh.

KARANGAN: ISU PENGANGGURAN

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.
Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.

Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang mendorong isu ini berlaku?

Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.

Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.

Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.

Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.

Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini.

Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

RENCANA: SEMANGAT KEJIRANAN

Karangan Semangat Kejiranan Terhakis Dalam Masyarakat Kita?

Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini dan kepentingannya.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka.

Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah.

Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

RENCANA: KES RAGUT

SEJAK dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas.Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.

Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa.

Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak.Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi.Menurut mereka peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di tempat awam.

Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu.Menurut Mahmood, jenayah itu kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita.

``Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di tempat awam,'' katanya.Menurutnya daripada sudut psikologi, wanita perlu peka dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.

``Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan se-suatu apabila diserang,'' ujarnya.Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu.``

Contohnya apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu,'' nasihatnya.Jelas Profesor Mahmood, wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang.Ditanya sama ada wanita sendiri yang menjadi pendorong kepada peragut, Mahmood berkata semuanya bergantung kepada penampilan individu itu sendiri dan sejauh mana mereka membuat persiapan untuk menghadapi risiko sedemikian apabila berada di luar rumah.Sehubungan itu, beliau turut bersetuju wanita mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya.`

`Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka,'' tambahnya.Mahmood turut menasihati wanita supaya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.

``Seelok-eloknya jangan membawa dokumen penting yang tidak diperlukan setiap hari di dalam beg tangan memadai dengan keperluan untuk hari itu. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat,'' tambahnya.Menurut Mahmood, sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka.

``Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis,'' cadangnya.Seperkara lagi kata Mahmood, masyarakat juga harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di dalam situasi seperti itu.
``Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati.``Saya juga berharap undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya,'' jelas Mahmood.SeminarDitanya sama ada perlu atau tidak diperbanyakkan seminar dan bengkel mencegah jenayah di kalangan wanita, Mahmood menjelaskan, apa yang ada sekarang sudah memadai, hanya perlu ditambah nilainya sahaja.

``Apa yang dimaksudkan dengan nilai adalah bengkel yang berunsurkan penampilan diri dan tata rias diisi juga dengan ceramah daripada pihak keselamatan (polis) atau mereka yang berkaitan perkara terbabit asalkan ia memberi manfaat,'' katanya.Mengenai sikap peragut, Mahmood berkata, biasanya peragut adalah mereka yang yang suka mencuri.``Mereka hanya inginkan barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa,'' jelas Mahmood.Seperkara yang perlu diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri.

``Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang dipandu,'' ujar Mahmood.Dalam apa juga keadaan, kata Mahmood, langkah terbaik adalah sentiasa berhati-hati.Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.

PERIBAHASA YANG BERMULA DENGAN HURUF A

Ada air, adalah ikan.
Ada negeri tentulah ada rakyatnya. (Peribahasa lain yang sama makna:
Ada padang, ada belalang).

Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang.
Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan. .

Ada angin, ada pokoknya (= pohonnya).
Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya. .

Ada bangkai, adalah hering.
Ada perempuan jahat, adalah lelaki jahat yang mengunjunginya. hering = burung pemakan bangkai.

Ada batang, cendawan tumbuh.
Tiap-tiap negeri ada undang-undang dan adat resamnya masing-masing. (Bandingkan dengan:
Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh).

Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh.
Di mana juga kita tinggal, akan ada rezeki kita.

Ada beras, taruh dalam padi.
Rahsia hendaklah disimpan baik-baik. (Peribahasa lain yang sama makna: Taruh beras dalam padi).

Ada biduk, serempu pula.
Tidak puas dengan apa yang sudah dimiliki. (Bandingkan dengan: a. Ada sampan hendak berenang, b. Ada sirih hendak makan sepah, c. Ada tangga hendak memanjat tiang). serempu = sejenis sampan.

Ada bukit, ada paya.
Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya. .

Ada gula, ada semut.
Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada padi masak, adalah pipit). .

Ada hari, ada nasi.
Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada nyawa ada rezeki, b. Ada umur ada rezeki). .

Ada hujan ada panas, ada hari boleh balas.
Perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas). .

Ada jarum hendaklah ada benangnya.
Tiap-tiap suatu itu ada pasangannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada laut, ada perampok, b. Ada ulam hendaklah ada sambalnya). .

Ada kerak, ada nasi.
Tiap-tiap suatu kejadian itu tentu ada bekasnya. .

Ada laut, ada perampok.
Tiap-tiap suatu itu ada pasangannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada jarum hendaklah ada benangnya, b. Ada ulam hendaklah ada sambalnya). .

Ada nasi (= bernasi) di balik kerak.
Masih ada sesuatu yang belum diselesaikan atau belum diperhatikan. (Bandingkan dengan: Tidak bernasi di balik kerak). .

Ada nyawa ada rezeki.
Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada hari, ada nasi, b. Ada umur ada rezeki). .

Ada padang, ada belalangnya.
Ada negeri tentulah ada rakyatnya. (Peribahasa lain yang sama makna:
Ada air, adalah ikan).

Ada padi masak, adalah pipit.
Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada gula, ada semut). .

Ada padi, segala menjadi.
Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Beremas kemas, berpadi menjadi). .

Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.
Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada padi, segala menjadi). .

Ada pasang surutnya.
Untung dan malang tidak tetap. .

Ada persembahan ada kurnia.
Berbuat baik dibalas baik. .

Ada rotan, ada duri.
Dalam kesenangan tentu ada kesusahannya. .

Monday, July 6, 2009

KARANGAN: PENGALAMAN TERSESAT DI DALAM HUTAN

Karangan Jenis Gambaran/Keperihalan
SOALAN:
Anda telah mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Semasa menyertai aktiviti tersebut, anda telah tersesat di dalam hutan. Ceritakan pengalaman anda.

Jawapan Contoh:
Hatiku menjadi gelisah. Perkara yang tidak kuingini asyik bermain-main di dalam mindaku. Kawasan sekelilingku yang merupakan flora dan fauna sahaja telah menjadikan aku berasa asing dan kurang selesa. Aku menyesal kerana aku tidak mengikut nasihat guruku supaya tidak merayau-rayau di dalam hutan seorang diri.

Aku tidak tahu apakah yang harus aku lakukan dalam keadaan yang bingung ini. Aku tidak membawa peta dan kompas kerana tertinggal di rumah. Makanan yang aku bawa hanya dua keping roti, beberapa keping biskut dan sebotol air yang hanya cukup dimakan untuk dua hari sahaja. Keadaan hutan di kawasan gunung ini terlalu tebal. Udaranya pula terlalu sejuk. Nyamuk dan serangga halus bermaharajalela di sini. Badanku menggigil dan berasa gatal-gatal.

Keadaan yang kurang selesa ini menyebabkan aku sentiasa mencuba untuk mencari jalan keluar. Untuk berpatah balik, jaraknya agak jauh. Sekiranya aku menunggu kawan-kawanku di sini, beberapa jam lagi, hari akan bertukar malam. Kemungkinan untuk aku berjumpa dengan mereka semakin tipis. Langit pula kelihatan gelap menandakan hujan lebat akan turun pada bila-bila masa. Bimbang juga rasanya kerana aku terlupa membawa baju yang berlebihan dan tentu aku akan basah kuyup.

Tiba-tiba, suatu idea menerjah dalam benakku. Aku tahu bahawa aku mesti mencuba sedaya upaya untuk menghampiri mana-mana sungai yang berdekatan. Sungai dapat membekalkan sumber air dan aku tidak perlu risau tentang kehausan. Aku menguatkan semangat aku lalu menjelajah hutan untuk mencari sungai.


Kegelapan menutupi hutan itu. Perasaanku semakin kecut. Aku berasa bimbang akan dibaham oleh binatang-binatang buas ataupun terserempak dengan sesuatu yang tidak kuingini. Aku berdoa dalam hati kecilku agar dapat keluar dari hutan ini dengan selamat. Aku bernasib baik kerana selepas beberapa jam, aku berjaya mencari sebatang sungai yang kelihatan jernih dan bersih. Walau bagaimanapun seluruh tubuhku basah kerana aku banyak berpeluh. Perutku terasa sangat lapar dan tekakku kering dan dahaga. Dengan segera, aku mengeluarkan bekalan yang aku bawa daripada beg galas lalu terus menyumbatnya ke dalam mulut. Hilang rasa kelaparan dan kehausanku dengan serta merta.

Tanpa membuang masa, aku terus mengumpulkan ranting, dahan kayu dan dedaun kering untuk dijadikan unggun api. Tujuannya adalah untuk menghindarkan nyamuk dan binatang buas, di samping memanaskan badan aku pada waktu malam nanti. Tanpa kusedari, hari sudah bertukar menjadi malam dan seluruh badanku berasa letih. Aku bingkas membentangkan tikar berdekatan dengan unggun api lalu membaringkan tubuhku di atas tikar tersebut. Sebelum aku tidur, aku berdoa agar bantuan segera tiba dan siang cepat menjelma.Aku tidak pasti entah bila aku terlelap. Sedar-sedar, mentari menyingsingkan cahayanya. Badanku lebam akibat gigitan nyamuk pada seluruh badanku. Walau bagaimanapun, aku berasa gembira kerana keadaan hutan yang gelap menjadi terang semula.

Tiba-tiba, aku terdengar namaku dipanggil berterus-terusan. Aku memekap telinga untuk memastikan siapakah yang memanggil namaku. Rupa-rupanya, mereka ialah kawan-kawanku bersama-sama dengan beberapa anggota polis yang sedang berjalan ke arahku aku. Aku berasa gembira dan berlari untuk mendapatkan mereka. Kami berpeluk-pelukan. Aku tidak tahu apakah yang harus aku katakan. Terlalu gembira perasaanku.

Kini aku telah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari hutan. Guru-guruku dan semua peserta perkhemahan termasuk ahli keluargaku menarik nafas lega. Mereka mengatakan namaku telah terpapar di media massa. Mereka telah membuat liputan tentang kehilanganku. Aku berjanji bahawa aku tidak akan leka dan cuai lagi pada masa hadapan. Namun, pengalaman ini tidak akan melemahkan semangatku untuk mengikuti aktiviti seperti ini pada masa hadapan.


KARANGAN: SUASANA SEMASA GOTONG-ROYONG

Soalan : Baru-baru ini, penduduk di kawasan perumahan anda telah mengadakan aktiviti gotong-royong bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.
Ceritakan suasana pada hari tersebut.


PENDAHULUAN
- bila, tempat kegiatan diadakan
- tujuan diadakan


ISI-ISI PENTING
(1) sambutan penduduk amat menggalakkan tidak kira golongan muda, tua, mahupun kanak-kanak – taklimat disampaikan oleh pengerusi persatuan penduduk – pembahagian kumpulan mengikut tugas masing-masing
(2) membersihkan kawasan perumahan –mencuci longkang – membaiki dan mengecat dewan orang ramai – surau – taman permainan kanak-kanak – memotong rumput - kawasan menjadi bersih, cantik, dan ceria – berpuas hati
(3) kaum wanita menyediakan makanan dan minuman – riuh-rendah – gelak ketawa – memperlihatkan kemesraan antara penduduk berbilang kaum – mengeratkan silaturahim – memperkukuh institusi masyarakat – pelbagai juadah disediakan
(4) selepas bergotong-royong – menikmati jamuan – dapat beramah mesra – hubungan menjadi erat – dapat berkenal-kenalan – bertanya khabar – gotong-royong disambung kembali – sampah sarap diangkut oleh lori ke tempat pelupusan sampah - membersihkan peralatan – mengucapkan terima kasih

PENUTUP
- akan diadakan lagi pada masa akan datang – mendatangkan banyak manfaat
– semoga nyamuk aedes tidak dapat membiak – kesihatan penduduk lebih terjamin

KARANGAN: KEBAIKAN BELAJAR SECARA BERKUMPULAN

Soalan : Pelbagai kaedah dan teknik belajar dilakukan oleh pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Antara kaedahnya ialah belajar secara berkumpulan.
Berikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan belajar secara berkumpulan.

Pendahuluan
(setiap pelajar mempunyai kaedah belajar yang tersendiri – perlu memilih kaedah dan teknik belajar yang paling berkesan dan mudah)

Isi-isi Penting
(1) mudah menerima pelajaran – meminta bantuan daripada rakan yang lebih bijak – dapat mengetahui maklumat dengan lebih cepat
(2) mengurangkan kos membeli bahan bacaan dan latihan – dapat berkongsi buku rujukan – dapat berkongsi maklumat dengan lebih banyak
(3) mengeratkan hubungan – silaturahim menjadi lebih baik – berbincang dalam suasana yang menyeronokkan – menghindarkan kebosanan
(4) dapat menilai tahap pencapaian diri – mewujudkan persaingan yang sihat – meningkatkan motivasi untuk belajar – berusaha untuk menjadi lebih rajin

Penutup
(perlu dilaksanakan dengan terancang dan teratur – perlu berdisiplin – berusaha untuk mencapai tujuan belajar)

KARANGAN: FAKTOR PENGANGGURAN DALAM KALANGAN SISWAZAH

Soalan : Pengangguran dalam kalangan siswazah pada masa kini semakin meningkat. Terdapat pelbagai faktor yang dikenal pasti menjadi punca pengangguran ini.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran dalam kalangan siswazah.


RANGKA KARANGAN

PENDAHULUAN
- terdapat kira-kira 60 000 orang siswazah yang menganggur di negara kita - terdiri daripada lulusan pelbagai jurusan dan bidang - masih belum mendapat pekerjaan tetap - banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku

ISI-ISI PENTING
- terlalu memilih pekerjaan – tidak mahu dan malu untuk melakukan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka – lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak sepadan
- berlaku lambakan siswazah dalam sesuatu bidang seperti teknologi maklumat, sains sosial, pengurusan perniagaan – tidak dapat memenuhi kehendak pasaran pekerjaan – majikan yang mengutamakan pekerja asing yang dibayar lebih murah
- bilangan siswazah yang semakin meningkat – kewujudan universiti awam dan swasta yang banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan – mengehadkan peluang pekerjaan
- tidak berkeupayaan untuk menguasai kemahiran yang diperlukan – tidak dapat menguasai banyak bahasa, khususnya bahasa antarabangsa – tidak bersikap proaktif, dinamik, dan pragmatik

PENUTUP
- pihak kerajaan perlu mencari inisiatif bagi mengatasi masalah ini – untuk mengelakkan pembaziran sumber manusia dan ilmu yang dimiliki – perlu ditangani segera untuk menjana perkembangan ekonomi negara

KARANGAN: SESAT DI HUJUNG JALAN, BALIK KE PANGKAL JALAN

Karangan Jenis Peribahasa
Karangan Contoh

Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan berbagai-bagai peribahasa. Peribahasa ini digunakan orang sebagai kiasan, teladan, dan pengajaran. Setiap peribahasa mempunyai maksudnya yang tertentu. Dalam setiap peribahasa, lazimnya tersirat nasihat dan pengajaran yang sesuai dijadikan panduan hidup sepanjang zaman. Begitulah halnya dengan peribahasa “sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Peribahasa ini mempunyai maksud yang baik sekali dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita sehari-hari.


“Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan” bermaksud jika kita terlanjur dalam melakukan sesuatu perbuatan, eloklah kita menginsafinya dengan segera. Dari segi bahasa, kata sesat bermaksud tersalah jalan atau tidak mengikut jalan yang betul. Kata sesat dapat diertikan juga sebagai tidak mengikut ajaran yang benar atau menyimpang daripada kebenaran.

Peribahasa ini menganjurkan kita membetulkan langkah, perbuatan, atau kesilapan yang telah kita lakukan. Dalam hal ini kita perlu meneliti dan mengkaji punca atau sebab sesuatu kesilapan itu kita lakukan supaya kesilapan itu tidak kita ulangi. Oleh sebab itulah kita disuruh berpatah balik ke pangkal jalan apabila kita tersesat. Dari pangkal jalan kita dapat menemukan punca kesilapan kita. Dari situ jugalah kita dapat mencari jalan yang betul.

Jauh atau dekat perjalanan kesesatan kita, bukanlah ukurannya. Selangkah kita tersesat jalan, kita akan mengalami kerugian yang berlarutan seandainya kesilapan itu tidak kita sedari. Kita tidak dapat mencari jalan yang betul kerana punca atau sebabnya tidak kita ketahui. Kita tidak dapat membetulkan kesilapan kita kerana caranya tidak kita ketahui. Oleh hal yang demikian, kita patut insaf dan mencari jalan yang betul itu semula.

Dalam hal ini, natijah tersesat pemikiran adalah lebih buruk kesannya daripada keadaan di dalam hutan atau tersesat ketika mencari jalan pulang ke rumah. Hal ini dapat dijelaskan melalui pepatah “terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Seseorang yang tersesat pemikiran bermakna dia keliru ketika mencari arah kehidupan yang sebenarnya. Dia akan bertindak sesuka hatinya dan terkeluar daripada batas-batas tatasusila dan moral manusia. Tindakannya bertentangan dan menyimpang daripada kebenaran.

Gejala tersesat pemikiran ini jelas berlaku dalam kalangan remaja negara kita pada hari ini. Kebanyakan remaja kini hidup bagai anak ayam kehilangan induk. Mereka tidak mendapat bimbingan yang betul untuk meneruskan perjalanan hidup mereka. Lantaran itu mereka mudah tersesat. Mereka sesat dalam gaya hidup yang lumrah dengan pelbagai aktiviti yang meruntuhkan moral. Mereka sesat dalam kemungkaran dan lembah maksiat kerana mereka tiada ketahanan diri yang kental dan kukuh.

Sesungguhnya, kesesatan tidak bermakna kehancuran. Kehancuran hanya akan kita alami seandainya kita meneruskan perjalanan dalam keadaan yang sesat. Oleh sebab itu, apabila kita tersesat, kita seharusnya kembali ke pangkal jalan dan membetulkan kesilapan yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, kita akan selamat di sepanjang perjalanan pada masa depan.


KARANGAN: FAEDAH-FAEDAH MEMPELAJARI KOMPUTER

RANGKA KARANGAN

PENDAHULUAN
komputer amat diperlukan pada zaman ini – amat penting kepada pelajar – dititikberatkan oleh pihak kerajaan – pelajar perlu celik komputer

ISI-ISI PENTING
(1) banyak faedah komputer kepada pelajar – memudahkan pembelajaran – menyimpan dan mengeluarkan maklumat dengan lebih cepat dan berkesan – tidak memerlukan ruang yang banyak
(2) mendapatkan maklumat tambahan daripada internet – pengetahuan bertambah – bertukar-tukar maklumat melalui e-mel – menyenangkan pelajar mencari maklumat
(3) mempercepat pembelajaran – pelajar dapat belajar melalui peralatan komputer seperti CD – menyeronokkan – pembelajaran secara interaktif
(4) mudah melakukan rujukan – banyak perisian pelajaran yang dijual – harganya berpatutan – maklumat dapat disimpan – diperoleh tanpa menghadapi kesukaran

PENUTUP
(komputer merupakan satu keperluan – bukan lagi barangan mewah seperti dahulu – harganya semakin murah – mampu dimiliki oleh kebanyakan pelajar)

KARANGAN: KEGIATAN SUKARELA

Soalan : Penyertaan remaja dalam kegiatan sukarela amat penting. Tulis faedah-faedah remaja menyertai kegiatan sukarela.

Pendahuluan
kerja sukarela merupakan kerja kebajikan untuk masyarakat tanpa mengharapkan upah
memberikan banyak faedah, khususnya kepada golongan remaja


Isi-isi Penting
berbakti kepada masyarakat – rumah-rumah orang tua – kanak-kanak istimewa – sekolah – rumah anak yatim – menimbulkan semangat kerjasama dan muhibah – memberikan sumbangan kepada masyarakat


mengisi masa dengan kegiatan yang berfaedah – mengelakkan kegiatan melepak dan membuang masa – membina jati diri remaja yang unggul

menambah rakan dan memperluas pergaulan – bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta menimbulkan kemesraan

memberikan pengalaman untuk melakukan kerja-kerja tertentu – tidak kekok dalam pergaulan – tidak menjadi kera sumbang – aktif dalam kegiatan kemasyarakatan

Penutup
membentuk jiwa yang murni dan berhemah tinggi
remaja merupakan tonggak negara pada masa depan
kegiatan ini perlu diperluas dan dipergiat


KARANGAN: KEPENTINGAN MEMPERTAHANKAN PERMAINAN TRADISIONAL

LENGKAPKAN KARANGAN DENGAN UNGKAPAN/FRASA/RANGKAI KATA YANG DIBERIKAN

tak kenal, maka tak cinta
menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni
tidak hilang ditelan zaman
“sambil menyelam, minum air
lambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini
pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya
tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain
popular dalam carta kehidupan rakyat
mengukuhkan semangat perpaduan nasional
menaikkan imej Malaysia di persada dunia

JAWABAN CONTOH
Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.

Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini _____________________________________. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisional merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana ___________________________________. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai ________________________________________________________. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat ________________________________________________. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa _____________________________________. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis __________________________________________________. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan congkak ________________________________________ memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat __________________________________________ dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi ___________________________________________________________. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan _____________________________________________________. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus ________________________________________________ dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main congkak!

KARANGAN: BUDI BAHASA AMALAN HIDUP KITA

Ungkapan Menarik
Budi dikaitkan dengan cara bertutur, ciri perwatakan yang semestinya melibatkan interaksi sesama manusia di atas buana Malaysia yang bertuah ini.


Masyarakat menilai keperibadian seseorang individu berdasarkan tingginya nilai budi pekerti.


Budi boleh dijadikan lambang bagi sesuatu bangsa.

Generasi kini seharusnya menyambung tradisi yang tiada galang ganti agar amalan murni ini tidak ditelan oleh ledakan arus globalisasi yang cukup gawat.

Barangkali kita hanya memperoleh kejayaan daripada aspek pembangunan material manakala pembangunan kerohanian insan akan runtuh.

Natijahnya, kita akan melahirkan bangsa yang tidak mempunyai sikap berbudi bahasa yang menebal dalam diri.

Meladeni masalah ini, kerajaan cukup prihatin dengan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

Kerajaan telah mengorak langkah yang bijaksana.

Konsep Islam Hadhari memberikan keutamaan kepada pembangunan peradaban manusia.

Pembangunan fizikal yang seharusnya seiring dengan pembangunan insan sudah tentu akan melahirkan masyarakat Malaysia yang progresif dan dinamik.

Guru seharusnya menjadi suri teladan kepada anak didik mereka.

Warga pendidik haruslah menjaga kredibiliti institusi perguruan agar tidak hilang sirna serinya sebagai pembentukan akhlak insan.

Peranan institusi keluarga tidak boleh dikesisikan.

Perlakuan remaja ini sudah semestinya melanggar adat dan tatasusila yang menjadi norma dalam masyarakat.

Masyarakat harus mempunyai swadaya untuk menegur perlakuan remaja ini.

Peribahasa
Bagaimana acuan beitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya

Pantun
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.