BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 13, 2009

PERIBAHASA YANG BERMULA DENGAN HURUF A

Ada air, adalah ikan.
Ada negeri tentulah ada rakyatnya. (Peribahasa lain yang sama makna:
Ada padang, ada belalang).

Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang.
Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan. .

Ada angin, ada pokoknya (= pohonnya).
Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya. .

Ada bangkai, adalah hering.
Ada perempuan jahat, adalah lelaki jahat yang mengunjunginya. hering = burung pemakan bangkai.

Ada batang, cendawan tumbuh.
Tiap-tiap negeri ada undang-undang dan adat resamnya masing-masing. (Bandingkan dengan:
Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh).

Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh.
Di mana juga kita tinggal, akan ada rezeki kita.

Ada beras, taruh dalam padi.
Rahsia hendaklah disimpan baik-baik. (Peribahasa lain yang sama makna: Taruh beras dalam padi).

Ada biduk, serempu pula.
Tidak puas dengan apa yang sudah dimiliki. (Bandingkan dengan: a. Ada sampan hendak berenang, b. Ada sirih hendak makan sepah, c. Ada tangga hendak memanjat tiang). serempu = sejenis sampan.

Ada bukit, ada paya.
Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya. .

Ada gula, ada semut.
Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada padi masak, adalah pipit). .

Ada hari, ada nasi.
Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada nyawa ada rezeki, b. Ada umur ada rezeki). .

Ada hujan ada panas, ada hari boleh balas.
Perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas). .

Ada jarum hendaklah ada benangnya.
Tiap-tiap suatu itu ada pasangannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada laut, ada perampok, b. Ada ulam hendaklah ada sambalnya). .

Ada kerak, ada nasi.
Tiap-tiap suatu kejadian itu tentu ada bekasnya. .

Ada laut, ada perampok.
Tiap-tiap suatu itu ada pasangannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada jarum hendaklah ada benangnya, b. Ada ulam hendaklah ada sambalnya). .

Ada nasi (= bernasi) di balik kerak.
Masih ada sesuatu yang belum diselesaikan atau belum diperhatikan. (Bandingkan dengan: Tidak bernasi di balik kerak). .

Ada nyawa ada rezeki.
Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada hari, ada nasi, b. Ada umur ada rezeki). .

Ada padang, ada belalangnya.
Ada negeri tentulah ada rakyatnya. (Peribahasa lain yang sama makna:
Ada air, adalah ikan).

Ada padi masak, adalah pipit.
Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada gula, ada semut). .

Ada padi, segala menjadi.
Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Beremas kemas, berpadi menjadi). .

Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.
Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada padi, segala menjadi). .

Ada pasang surutnya.
Untung dan malang tidak tetap. .

Ada persembahan ada kurnia.
Berbuat baik dibalas baik. .

Ada rotan, ada duri.
Dalam kesenangan tentu ada kesusahannya. .

1 comment:

mercy said...

salam..
sye pelajar 17tahun selangor
blog ckgu sngt menarik perhatian..saya jumpa apa yg saya cari..insyallah percubaan spm esok sye boleh ^_^