BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 13, 2009

KARANGAN: UNGKAPAN MENARIK

CONTOH UNGKAPAN MENARIK
Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.


KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an.

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat.

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti.

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

1 comment:

Anonymous said...

slm cikgu,apa contoh ungkapan sebenarnya? maksud ungkapan apa sebenarnya?