BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 13, 2009

RINGKASAN: PENYALAHGUNAAN DADAH

BAHAGIAN A
Tulis ringkasan tentang faktor-faktor berlakunya penyalahgunaan dadah.

Dadah ialah sejenis bahan kimia yang boleh mendatangkan kemudaratan apabila disalahgunakan. Dadah dapat mengubah fungsi tubuh badan seseorang sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Sebenarnya, kerajaan sudah melakukan pelbagai usaha untuk memerangi musuh utama negara ini. Namun demikian, sehingga hari ini usaha untuk memerangi dadah masih belum menampakkan hasil yang benar-benar berkesan. Berdasarkan kajian yang dilakukan, salah satu faktor yang membawa kepada penyalahgunaan dadah ialah pihak yang berkenaan tidak mengetahui bahaya dadah dan kesan sebagi akibat pengambilan dadah. Selain itu, kekerapan bergaul dengan kawan-kawan yang menghisap dadah pun menjadi faktor berlakunya masalah ini. Malah ada antara mereka begitu mudah terpengaruh sebagai akibat tidak mahu diejek oleh kawan-kawan.


Seseorang yang ingin mencari ketenangan akan memilih jalan mudah dengan menghisap dadah. Golongan-golongan ini akan berkhayal seolah-olah berada di dunia yang lain. Seseorang yang dibesarkan dalam rumah tangga yang bercelaru juga sering terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Hal yang demikian kerana ibu bapa yang berkerjaya tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberikan perhatian kepada anak-anak. Oleh sebab itu, anak-anak dibiarkan mencari kebebasan di luar rumah dan sebagai akibatnya mudahlah mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Kesan fizikal sebagai akibat penyalahgunaan dadah dapat dilihat daripada beberapa aspek. Antaranya, kesan terhadap sistem penting dalam tubuh manusia seperti sistem pernafasan, saraf, jantung, sistem metabolisme, dan otot-otot. Secara tidak langsung, kehidupan yang dilalui oleh mereka menjadi tidak terurus dan tidak normal. Kesan mental pula ialah seseorang itu akan hilang kawalan diri. Mereka tidak mempunyai tanggungjawab dan tidak segan silu melakukan perkara yang mengaibkan. Mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi sehingga boleh melakukan pelbagai perbuatan jenayah seperti mencuri dan membunuh.

Dadah bukanlah mudah untuk dimusnahkan kerana pengeluaran dadah dan permintaannya sentiasa meningkat saban tahun. Oleh itu, pelbagai pertubuhan sukarela dan badan-badan bukan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani masalah ini.

No comments: