BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 13, 2009

PERBANDINGAN NOVEL: PENGAJARAN TRAGEDI DAN KANANG

Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan

Antara pengajaran yang terdapat dalam kedua-dua buah novel, iaitu novel Tingkatan 2, Tragedi Empat Disember (TED) dan novel Kanang Cerita Seorang Pahlawan (KCSP) ialah kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan.

Dalam TED, Kamarul Azam dan rakan-rakan berjaya mendarat di Tanjung Pangku dan mendirikan khemah sebelum malam menjelang. Kejayaan ini dicapai setelah membuat perancangan yang teliti dan mematuhi masa yang ditetapkan. Dalam KCSP pula, Kanang telah berjaya menamatkan latihan ketenteraannya walaupun dia kurang mahir berbahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Kejayaan ini dicapai kerana usaha gigih Kanang mempelajari kedua-dua bahasa tersebut.

Semasa makan, Kamarul Azam telah berjaya menghalau agas dan kelkatu berterbangan dan masuk ke dalam makanan mereka. Hal ini demikian kerana dia telah berusaha untuk mengumpulkan ranting kayu kering untuk dibakar bagi menghalau agas dan kelkatu. Dalam KCSP pula, Kanang telah berjaya mengesan jejak musuh dalam beberapa operasi termasuk Gerakan Pukat. Kejayaannya didorong oleh berkat semangat dan usahanya yang bersungguh-sungguh.

KARANGAN: ISU PENGANGGURAN

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.
Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.

Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang mendorong isu ini berlaku?

Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.

Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.

Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.

Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.

Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini.

Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

RENCANA: SEMANGAT KEJIRANAN

Karangan Semangat Kejiranan Terhakis Dalam Masyarakat Kita?

Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini dan kepentingannya.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka.

Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah.

Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

RENCANA: KES RAGUT

SEJAK dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas.Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.

Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa.

Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak.Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi.Menurut mereka peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di tempat awam.

Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu.Menurut Mahmood, jenayah itu kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita.

``Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di tempat awam,'' katanya.Menurutnya daripada sudut psikologi, wanita perlu peka dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.

``Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan se-suatu apabila diserang,'' ujarnya.Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu.``

Contohnya apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu,'' nasihatnya.Jelas Profesor Mahmood, wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang.Ditanya sama ada wanita sendiri yang menjadi pendorong kepada peragut, Mahmood berkata semuanya bergantung kepada penampilan individu itu sendiri dan sejauh mana mereka membuat persiapan untuk menghadapi risiko sedemikian apabila berada di luar rumah.Sehubungan itu, beliau turut bersetuju wanita mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya.`

`Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka,'' tambahnya.Mahmood turut menasihati wanita supaya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.

``Seelok-eloknya jangan membawa dokumen penting yang tidak diperlukan setiap hari di dalam beg tangan memadai dengan keperluan untuk hari itu. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat,'' tambahnya.Menurut Mahmood, sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka.

``Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis,'' cadangnya.Seperkara lagi kata Mahmood, masyarakat juga harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di dalam situasi seperti itu.
``Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati.``Saya juga berharap undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya,'' jelas Mahmood.SeminarDitanya sama ada perlu atau tidak diperbanyakkan seminar dan bengkel mencegah jenayah di kalangan wanita, Mahmood menjelaskan, apa yang ada sekarang sudah memadai, hanya perlu ditambah nilainya sahaja.

``Apa yang dimaksudkan dengan nilai adalah bengkel yang berunsurkan penampilan diri dan tata rias diisi juga dengan ceramah daripada pihak keselamatan (polis) atau mereka yang berkaitan perkara terbabit asalkan ia memberi manfaat,'' katanya.Mengenai sikap peragut, Mahmood berkata, biasanya peragut adalah mereka yang yang suka mencuri.``Mereka hanya inginkan barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa,'' jelas Mahmood.Seperkara yang perlu diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri.

``Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang dipandu,'' ujar Mahmood.Dalam apa juga keadaan, kata Mahmood, langkah terbaik adalah sentiasa berhati-hati.Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.

PERIBAHASA YANG BERMULA DENGAN HURUF A

Ada air, adalah ikan.
Ada negeri tentulah ada rakyatnya. (Peribahasa lain yang sama makna:
Ada padang, ada belalang).

Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang.
Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan. .

Ada angin, ada pokoknya (= pohonnya).
Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya. .

Ada bangkai, adalah hering.
Ada perempuan jahat, adalah lelaki jahat yang mengunjunginya. hering = burung pemakan bangkai.

Ada batang, cendawan tumbuh.
Tiap-tiap negeri ada undang-undang dan adat resamnya masing-masing. (Bandingkan dengan:
Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh).

Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh.
Di mana juga kita tinggal, akan ada rezeki kita.

Ada beras, taruh dalam padi.
Rahsia hendaklah disimpan baik-baik. (Peribahasa lain yang sama makna: Taruh beras dalam padi).

Ada biduk, serempu pula.
Tidak puas dengan apa yang sudah dimiliki. (Bandingkan dengan: a. Ada sampan hendak berenang, b. Ada sirih hendak makan sepah, c. Ada tangga hendak memanjat tiang). serempu = sejenis sampan.

Ada bukit, ada paya.
Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya. .

Ada gula, ada semut.
Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada padi masak, adalah pipit). .

Ada hari, ada nasi.
Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada nyawa ada rezeki, b. Ada umur ada rezeki). .

Ada hujan ada panas, ada hari boleh balas.
Perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas). .

Ada jarum hendaklah ada benangnya.
Tiap-tiap suatu itu ada pasangannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada laut, ada perampok, b. Ada ulam hendaklah ada sambalnya). .

Ada kerak, ada nasi.
Tiap-tiap suatu kejadian itu tentu ada bekasnya. .

Ada laut, ada perampok.
Tiap-tiap suatu itu ada pasangannya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada jarum hendaklah ada benangnya, b. Ada ulam hendaklah ada sambalnya). .

Ada nasi (= bernasi) di balik kerak.
Masih ada sesuatu yang belum diselesaikan atau belum diperhatikan. (Bandingkan dengan: Tidak bernasi di balik kerak). .

Ada nyawa ada rezeki.
Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Ada hari, ada nasi, b. Ada umur ada rezeki). .

Ada padang, ada belalangnya.
Ada negeri tentulah ada rakyatnya. (Peribahasa lain yang sama makna:
Ada air, adalah ikan).

Ada padi masak, adalah pipit.
Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada gula, ada semut). .

Ada padi, segala menjadi.
Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Beremas kemas, berpadi menjadi). .

Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.
Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Ada padi, segala menjadi). .

Ada pasang surutnya.
Untung dan malang tidak tetap. .

Ada persembahan ada kurnia.
Berbuat baik dibalas baik. .

Ada rotan, ada duri.
Dalam kesenangan tentu ada kesusahannya. .

Monday, July 6, 2009

KARANGAN: PENGALAMAN TERSESAT DI DALAM HUTAN

Karangan Jenis Gambaran/Keperihalan
SOALAN:
Anda telah mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Semasa menyertai aktiviti tersebut, anda telah tersesat di dalam hutan. Ceritakan pengalaman anda.

Jawapan Contoh:
Hatiku menjadi gelisah. Perkara yang tidak kuingini asyik bermain-main di dalam mindaku. Kawasan sekelilingku yang merupakan flora dan fauna sahaja telah menjadikan aku berasa asing dan kurang selesa. Aku menyesal kerana aku tidak mengikut nasihat guruku supaya tidak merayau-rayau di dalam hutan seorang diri.

Aku tidak tahu apakah yang harus aku lakukan dalam keadaan yang bingung ini. Aku tidak membawa peta dan kompas kerana tertinggal di rumah. Makanan yang aku bawa hanya dua keping roti, beberapa keping biskut dan sebotol air yang hanya cukup dimakan untuk dua hari sahaja. Keadaan hutan di kawasan gunung ini terlalu tebal. Udaranya pula terlalu sejuk. Nyamuk dan serangga halus bermaharajalela di sini. Badanku menggigil dan berasa gatal-gatal.

Keadaan yang kurang selesa ini menyebabkan aku sentiasa mencuba untuk mencari jalan keluar. Untuk berpatah balik, jaraknya agak jauh. Sekiranya aku menunggu kawan-kawanku di sini, beberapa jam lagi, hari akan bertukar malam. Kemungkinan untuk aku berjumpa dengan mereka semakin tipis. Langit pula kelihatan gelap menandakan hujan lebat akan turun pada bila-bila masa. Bimbang juga rasanya kerana aku terlupa membawa baju yang berlebihan dan tentu aku akan basah kuyup.

Tiba-tiba, suatu idea menerjah dalam benakku. Aku tahu bahawa aku mesti mencuba sedaya upaya untuk menghampiri mana-mana sungai yang berdekatan. Sungai dapat membekalkan sumber air dan aku tidak perlu risau tentang kehausan. Aku menguatkan semangat aku lalu menjelajah hutan untuk mencari sungai.


Kegelapan menutupi hutan itu. Perasaanku semakin kecut. Aku berasa bimbang akan dibaham oleh binatang-binatang buas ataupun terserempak dengan sesuatu yang tidak kuingini. Aku berdoa dalam hati kecilku agar dapat keluar dari hutan ini dengan selamat. Aku bernasib baik kerana selepas beberapa jam, aku berjaya mencari sebatang sungai yang kelihatan jernih dan bersih. Walau bagaimanapun seluruh tubuhku basah kerana aku banyak berpeluh. Perutku terasa sangat lapar dan tekakku kering dan dahaga. Dengan segera, aku mengeluarkan bekalan yang aku bawa daripada beg galas lalu terus menyumbatnya ke dalam mulut. Hilang rasa kelaparan dan kehausanku dengan serta merta.

Tanpa membuang masa, aku terus mengumpulkan ranting, dahan kayu dan dedaun kering untuk dijadikan unggun api. Tujuannya adalah untuk menghindarkan nyamuk dan binatang buas, di samping memanaskan badan aku pada waktu malam nanti. Tanpa kusedari, hari sudah bertukar menjadi malam dan seluruh badanku berasa letih. Aku bingkas membentangkan tikar berdekatan dengan unggun api lalu membaringkan tubuhku di atas tikar tersebut. Sebelum aku tidur, aku berdoa agar bantuan segera tiba dan siang cepat menjelma.Aku tidak pasti entah bila aku terlelap. Sedar-sedar, mentari menyingsingkan cahayanya. Badanku lebam akibat gigitan nyamuk pada seluruh badanku. Walau bagaimanapun, aku berasa gembira kerana keadaan hutan yang gelap menjadi terang semula.

Tiba-tiba, aku terdengar namaku dipanggil berterus-terusan. Aku memekap telinga untuk memastikan siapakah yang memanggil namaku. Rupa-rupanya, mereka ialah kawan-kawanku bersama-sama dengan beberapa anggota polis yang sedang berjalan ke arahku aku. Aku berasa gembira dan berlari untuk mendapatkan mereka. Kami berpeluk-pelukan. Aku tidak tahu apakah yang harus aku katakan. Terlalu gembira perasaanku.

Kini aku telah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari hutan. Guru-guruku dan semua peserta perkhemahan termasuk ahli keluargaku menarik nafas lega. Mereka mengatakan namaku telah terpapar di media massa. Mereka telah membuat liputan tentang kehilanganku. Aku berjanji bahawa aku tidak akan leka dan cuai lagi pada masa hadapan. Namun, pengalaman ini tidak akan melemahkan semangatku untuk mengikuti aktiviti seperti ini pada masa hadapan.


KARANGAN: SUASANA SEMASA GOTONG-ROYONG

Soalan : Baru-baru ini, penduduk di kawasan perumahan anda telah mengadakan aktiviti gotong-royong bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.
Ceritakan suasana pada hari tersebut.


PENDAHULUAN
- bila, tempat kegiatan diadakan
- tujuan diadakan


ISI-ISI PENTING
(1) sambutan penduduk amat menggalakkan tidak kira golongan muda, tua, mahupun kanak-kanak – taklimat disampaikan oleh pengerusi persatuan penduduk – pembahagian kumpulan mengikut tugas masing-masing
(2) membersihkan kawasan perumahan –mencuci longkang – membaiki dan mengecat dewan orang ramai – surau – taman permainan kanak-kanak – memotong rumput - kawasan menjadi bersih, cantik, dan ceria – berpuas hati
(3) kaum wanita menyediakan makanan dan minuman – riuh-rendah – gelak ketawa – memperlihatkan kemesraan antara penduduk berbilang kaum – mengeratkan silaturahim – memperkukuh institusi masyarakat – pelbagai juadah disediakan
(4) selepas bergotong-royong – menikmati jamuan – dapat beramah mesra – hubungan menjadi erat – dapat berkenal-kenalan – bertanya khabar – gotong-royong disambung kembali – sampah sarap diangkut oleh lori ke tempat pelupusan sampah - membersihkan peralatan – mengucapkan terima kasih

PENUTUP
- akan diadakan lagi pada masa akan datang – mendatangkan banyak manfaat
– semoga nyamuk aedes tidak dapat membiak – kesihatan penduduk lebih terjamin