BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 6, 2009

KARANGAN: KEBAIKAN BELAJAR SECARA BERKUMPULAN

Soalan : Pelbagai kaedah dan teknik belajar dilakukan oleh pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Antara kaedahnya ialah belajar secara berkumpulan.
Berikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan belajar secara berkumpulan.

Pendahuluan
(setiap pelajar mempunyai kaedah belajar yang tersendiri – perlu memilih kaedah dan teknik belajar yang paling berkesan dan mudah)

Isi-isi Penting
(1) mudah menerima pelajaran – meminta bantuan daripada rakan yang lebih bijak – dapat mengetahui maklumat dengan lebih cepat
(2) mengurangkan kos membeli bahan bacaan dan latihan – dapat berkongsi buku rujukan – dapat berkongsi maklumat dengan lebih banyak
(3) mengeratkan hubungan – silaturahim menjadi lebih baik – berbincang dalam suasana yang menyeronokkan – menghindarkan kebosanan
(4) dapat menilai tahap pencapaian diri – mewujudkan persaingan yang sihat – meningkatkan motivasi untuk belajar – berusaha untuk menjadi lebih rajin

Penutup
(perlu dilaksanakan dengan terancang dan teratur – perlu berdisiplin – berusaha untuk mencapai tujuan belajar)

KARANGAN: FAKTOR PENGANGGURAN DALAM KALANGAN SISWAZAH

Soalan : Pengangguran dalam kalangan siswazah pada masa kini semakin meningkat. Terdapat pelbagai faktor yang dikenal pasti menjadi punca pengangguran ini.
Berikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan pengangguran dalam kalangan siswazah.


RANGKA KARANGAN

PENDAHULUAN
- terdapat kira-kira 60 000 orang siswazah yang menganggur di negara kita - terdiri daripada lulusan pelbagai jurusan dan bidang - masih belum mendapat pekerjaan tetap - banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku

ISI-ISI PENTING
- terlalu memilih pekerjaan – tidak mahu dan malu untuk melakukan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka – lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak sepadan
- berlaku lambakan siswazah dalam sesuatu bidang seperti teknologi maklumat, sains sosial, pengurusan perniagaan – tidak dapat memenuhi kehendak pasaran pekerjaan – majikan yang mengutamakan pekerja asing yang dibayar lebih murah
- bilangan siswazah yang semakin meningkat – kewujudan universiti awam dan swasta yang banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan – mengehadkan peluang pekerjaan
- tidak berkeupayaan untuk menguasai kemahiran yang diperlukan – tidak dapat menguasai banyak bahasa, khususnya bahasa antarabangsa – tidak bersikap proaktif, dinamik, dan pragmatik

PENUTUP
- pihak kerajaan perlu mencari inisiatif bagi mengatasi masalah ini – untuk mengelakkan pembaziran sumber manusia dan ilmu yang dimiliki – perlu ditangani segera untuk menjana perkembangan ekonomi negara

KARANGAN: SESAT DI HUJUNG JALAN, BALIK KE PANGKAL JALAN

Karangan Jenis Peribahasa
Karangan Contoh

Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan berbagai-bagai peribahasa. Peribahasa ini digunakan orang sebagai kiasan, teladan, dan pengajaran. Setiap peribahasa mempunyai maksudnya yang tertentu. Dalam setiap peribahasa, lazimnya tersirat nasihat dan pengajaran yang sesuai dijadikan panduan hidup sepanjang zaman. Begitulah halnya dengan peribahasa “sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Peribahasa ini mempunyai maksud yang baik sekali dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita sehari-hari.


“Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan” bermaksud jika kita terlanjur dalam melakukan sesuatu perbuatan, eloklah kita menginsafinya dengan segera. Dari segi bahasa, kata sesat bermaksud tersalah jalan atau tidak mengikut jalan yang betul. Kata sesat dapat diertikan juga sebagai tidak mengikut ajaran yang benar atau menyimpang daripada kebenaran.

Peribahasa ini menganjurkan kita membetulkan langkah, perbuatan, atau kesilapan yang telah kita lakukan. Dalam hal ini kita perlu meneliti dan mengkaji punca atau sebab sesuatu kesilapan itu kita lakukan supaya kesilapan itu tidak kita ulangi. Oleh sebab itulah kita disuruh berpatah balik ke pangkal jalan apabila kita tersesat. Dari pangkal jalan kita dapat menemukan punca kesilapan kita. Dari situ jugalah kita dapat mencari jalan yang betul.

Jauh atau dekat perjalanan kesesatan kita, bukanlah ukurannya. Selangkah kita tersesat jalan, kita akan mengalami kerugian yang berlarutan seandainya kesilapan itu tidak kita sedari. Kita tidak dapat mencari jalan yang betul kerana punca atau sebabnya tidak kita ketahui. Kita tidak dapat membetulkan kesilapan kita kerana caranya tidak kita ketahui. Oleh hal yang demikian, kita patut insaf dan mencari jalan yang betul itu semula.

Dalam hal ini, natijah tersesat pemikiran adalah lebih buruk kesannya daripada keadaan di dalam hutan atau tersesat ketika mencari jalan pulang ke rumah. Hal ini dapat dijelaskan melalui pepatah “terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Seseorang yang tersesat pemikiran bermakna dia keliru ketika mencari arah kehidupan yang sebenarnya. Dia akan bertindak sesuka hatinya dan terkeluar daripada batas-batas tatasusila dan moral manusia. Tindakannya bertentangan dan menyimpang daripada kebenaran.

Gejala tersesat pemikiran ini jelas berlaku dalam kalangan remaja negara kita pada hari ini. Kebanyakan remaja kini hidup bagai anak ayam kehilangan induk. Mereka tidak mendapat bimbingan yang betul untuk meneruskan perjalanan hidup mereka. Lantaran itu mereka mudah tersesat. Mereka sesat dalam gaya hidup yang lumrah dengan pelbagai aktiviti yang meruntuhkan moral. Mereka sesat dalam kemungkaran dan lembah maksiat kerana mereka tiada ketahanan diri yang kental dan kukuh.

Sesungguhnya, kesesatan tidak bermakna kehancuran. Kehancuran hanya akan kita alami seandainya kita meneruskan perjalanan dalam keadaan yang sesat. Oleh sebab itu, apabila kita tersesat, kita seharusnya kembali ke pangkal jalan dan membetulkan kesilapan yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, kita akan selamat di sepanjang perjalanan pada masa depan.


KARANGAN: FAEDAH-FAEDAH MEMPELAJARI KOMPUTER

RANGKA KARANGAN

PENDAHULUAN
komputer amat diperlukan pada zaman ini – amat penting kepada pelajar – dititikberatkan oleh pihak kerajaan – pelajar perlu celik komputer

ISI-ISI PENTING
(1) banyak faedah komputer kepada pelajar – memudahkan pembelajaran – menyimpan dan mengeluarkan maklumat dengan lebih cepat dan berkesan – tidak memerlukan ruang yang banyak
(2) mendapatkan maklumat tambahan daripada internet – pengetahuan bertambah – bertukar-tukar maklumat melalui e-mel – menyenangkan pelajar mencari maklumat
(3) mempercepat pembelajaran – pelajar dapat belajar melalui peralatan komputer seperti CD – menyeronokkan – pembelajaran secara interaktif
(4) mudah melakukan rujukan – banyak perisian pelajaran yang dijual – harganya berpatutan – maklumat dapat disimpan – diperoleh tanpa menghadapi kesukaran

PENUTUP
(komputer merupakan satu keperluan – bukan lagi barangan mewah seperti dahulu – harganya semakin murah – mampu dimiliki oleh kebanyakan pelajar)

KARANGAN: KEGIATAN SUKARELA

Soalan : Penyertaan remaja dalam kegiatan sukarela amat penting. Tulis faedah-faedah remaja menyertai kegiatan sukarela.

Pendahuluan
kerja sukarela merupakan kerja kebajikan untuk masyarakat tanpa mengharapkan upah
memberikan banyak faedah, khususnya kepada golongan remaja


Isi-isi Penting
berbakti kepada masyarakat – rumah-rumah orang tua – kanak-kanak istimewa – sekolah – rumah anak yatim – menimbulkan semangat kerjasama dan muhibah – memberikan sumbangan kepada masyarakat


mengisi masa dengan kegiatan yang berfaedah – mengelakkan kegiatan melepak dan membuang masa – membina jati diri remaja yang unggul

menambah rakan dan memperluas pergaulan – bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta menimbulkan kemesraan

memberikan pengalaman untuk melakukan kerja-kerja tertentu – tidak kekok dalam pergaulan – tidak menjadi kera sumbang – aktif dalam kegiatan kemasyarakatan

Penutup
membentuk jiwa yang murni dan berhemah tinggi
remaja merupakan tonggak negara pada masa depan
kegiatan ini perlu diperluas dan dipergiat


KARANGAN: KEPENTINGAN MEMPERTAHANKAN PERMAINAN TRADISIONAL

LENGKAPKAN KARANGAN DENGAN UNGKAPAN/FRASA/RANGKAI KATA YANG DIBERIKAN

tak kenal, maka tak cinta
menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni
tidak hilang ditelan zaman
“sambil menyelam, minum air
lambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini
pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya
tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain
popular dalam carta kehidupan rakyat
mengukuhkan semangat perpaduan nasional
menaikkan imej Malaysia di persada dunia

JAWABAN CONTOH
Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.

Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini _____________________________________. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisional merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana ___________________________________. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai ________________________________________________________. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat ________________________________________________. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa _____________________________________. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis __________________________________________________. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan congkak ________________________________________ memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat __________________________________________ dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi ___________________________________________________________. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan _____________________________________________________. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus ________________________________________________ dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main congkak!

KARANGAN: BUDI BAHASA AMALAN HIDUP KITA

Ungkapan Menarik
Budi dikaitkan dengan cara bertutur, ciri perwatakan yang semestinya melibatkan interaksi sesama manusia di atas buana Malaysia yang bertuah ini.


Masyarakat menilai keperibadian seseorang individu berdasarkan tingginya nilai budi pekerti.


Budi boleh dijadikan lambang bagi sesuatu bangsa.

Generasi kini seharusnya menyambung tradisi yang tiada galang ganti agar amalan murni ini tidak ditelan oleh ledakan arus globalisasi yang cukup gawat.

Barangkali kita hanya memperoleh kejayaan daripada aspek pembangunan material manakala pembangunan kerohanian insan akan runtuh.

Natijahnya, kita akan melahirkan bangsa yang tidak mempunyai sikap berbudi bahasa yang menebal dalam diri.

Meladeni masalah ini, kerajaan cukup prihatin dengan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

Kerajaan telah mengorak langkah yang bijaksana.

Konsep Islam Hadhari memberikan keutamaan kepada pembangunan peradaban manusia.

Pembangunan fizikal yang seharusnya seiring dengan pembangunan insan sudah tentu akan melahirkan masyarakat Malaysia yang progresif dan dinamik.

Guru seharusnya menjadi suri teladan kepada anak didik mereka.

Warga pendidik haruslah menjaga kredibiliti institusi perguruan agar tidak hilang sirna serinya sebagai pembentukan akhlak insan.

Peranan institusi keluarga tidak boleh dikesisikan.

Perlakuan remaja ini sudah semestinya melanggar adat dan tatasusila yang menjadi norma dalam masyarakat.

Masyarakat harus mempunyai swadaya untuk menegur perlakuan remaja ini.

Peribahasa
Bagaimana acuan beitulah kuihnya; bagaimana contoh begitulah gubahannya

Pantun
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.