BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Sunday, March 22, 2009

KARANGAN: PERPADUAN KAUM

Cara-cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.


Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.

2 comments:

Anonymous said...

thank u sir .. your essays are really awesome ...n it helped me soo much as im quit poor in writting bahasa malaysia essays .. i have learned alot from ur essays ...thank u again n again

Anonymous said...

karangan ini bnyk membantu sy dlm menyiapkn folio.terima kasih atas perkongsian ini.terima kasih..