BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Sunday, March 22, 2009

KARANGAN: PEMBENTUKAN SAHSIAH MELALUI SAHABAT

PEMBENTUKAN SAHSIAH MELALUI SAHABAT
Dalam meniti kehidupan, kita pasti akan berdampingan dengan ahli keluarga, saudara-mara, dan rakan taulan. Tanpa mereka, hidup kita akan dilanda kesunyian dan keterasingan. Lantaran itu, untuk memenuhi fitrah kehidupan, teman atau sahabat merupakan pendamping yang penting, malah amat vital sekali dalam meneruskan kelangsungan hidup. Sahabat merupakan insan yang terhampir dengan kita dan lazimnya mereka sebaya dengan kita. Menyedari hakikat tersebut, peranan sahabat dalam pembentukan sahsiah diri kita merupakan suatu interaksi yang wajar dihalusi agar kita berupaya untuk memiliki keterampilan yang unggul dan berkesan.


Sahabat memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian seseorang. Sahabat banyak mempengaruhi perwatakan seseorang individu. Pengaruh daripada sahabat amat mendominasikan tingkah laku dan landasan pemikiran kita. Situasi ini memberikan dampak besar kepada keseluruhan pembentukan sahsiah. Misalnya, hubungan yang erat akan menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan gaya sahabatnya dari segi cara pergaulan, cara pertuturan dan cara pemakaian. Jika seseorang sahabat berpakaian mengikut fesyen terkini dan suka berfoya-foya, tidak mustahil juga kita turut mencontohi gaya buruknya. Teringat suatu falsafah yang amat menarik untuk dihayati, iaitu “Beritahulah aku siapa sahabatmu, dan aku akan memberitahu siapa diri kamu”. Bukankah kita sering diperingatkan agar bijak memilih sahabat? Peringatan ini sememangnya sangat wajar direnungi sedalam-dalamnya kerana terkandung maksud yang luas dan terselindung makna yang tersirat. Oleh sebab itu, kita mestilah bijak untuk memilih sahabat kerana selain keluarga, sahabat merupakan insan yang akan membentuk pola kehidupan kita secara lahiriah dan batiniah.

Semua khalayak mempunyai masalah tersendiri. Masalah tersebut lazimnya diluahkan kepada sahabat untuk dirungkaikan bersama-sama. Inilah senario yang berlaku sejak dahulu. Sering kali sahabat lebih dipercayai oleh kebanyakan remaja kerana mereka berasakan bahawa hubungan antara mereka dengan sahabat lebih dekat berbanding dengan keluarga. Apa-apa kesulitan yang dirundungi akan lenyap kerana perasaan yang lama dipendam dalam sanubari dapat dikongsi bersama-sama dengan sahabat, seterusnya bebannya akan menjadi lebih ringan. Seorang insan yang memahami perasaan kita terutamanya perasaan sedih, terdesak, dan gemuruh banyak membantu kita dalam mengimbangi kestabilan dalaman. Keadaan ini akan menyemai semangat juang yang tinggi untuk menghadapi kehidupan yang semakin ruwat. Dalam konteks ini, peranan sahabat tidak wajar dikesampingkan kerana sahabat memainkan peranan yang penting dalam usaha kita menangani segala cabaran hidup. Lantaran itulah, sahabat telah dikenal pasti sebagai insan yang mencorakkan sahsiah dalam keadaan tenang mahupun dalam keadaan genting.

Namun begitu, kita hendaklah berwaspada dan teliti semasa memilih sahabat. Sahabat yang berakhlak mulia dan berkeperibadian baik dapat mempengaruhi kita dengan amalan dan sikap-sikap positif. Kita dapat meluaskan horizon pemikiran bersama-sama dengan sahabat sama ada di sekolah ataupun di rumah masing-masing. Galakan sahabat yang positif juga banyak membantu kita untuk membaiki sikap kita dan seterusnya memajukan diri dengan penuh informasi dan kesedaran. Berfikirlah betul-betul sebelum menjejaki langkah seterusnya semasa memilih sahabat agar tidak tersalah langkah dan merosakkan masa depan yang cerah yang dinanti-nantikan. Alangkah buruknya jika kita terikut-ikut budaya atau perkara-perkara yang negatif. Perkara ini memakan diri secara tidak langsung. Janganlah sudah terhantuk baru tengadah. Gunakanlah akal fikiran yang rasional sebelum memilih sahabat. Untuk mengenali sahabat yang baik, tunggulah apabila kita berhadapan dengan sesuatu krisis atau musibah. Pada ketika itu, lihatlah tempat sahabat kita berada. Adakah mereka masih setia berdamping dengan kita, ataupun mereka meninggalkan kita tanpa sebarang pesan atau simpati? Sahabat yang mampu mencorakkan keperibadian kita ialah sahabat yang sanggup bersusah payah dengan kita, dan tetap berdiri teguh di belakang kita dalam apa-apa situasi sekalipun. Mereka memahami diri kita seperti mereka memahami diri mereka sendiri. Tidak ada istilah kesulitan untuk membantu kita. Mereka akan bergembira melihat kita berjaya. Mereka tidak ada secalit pun perasaan hasad jika kita berjaya. Inilah kriteria sahabat yang mesti dijejaki. Ungkapan menyatakan bahawa “sahabat ketawa mudah dicari, sahabat menangis sukar dijejaki”.

Sebagai intihanya, tanpa sahabat, kehidupan kita akan menjadi tawar dan tidak menarik. Sahabat menjadi salah satu aset yang harus diingati dalam kamus kehidupan kita. Kita hendaklah bijak semasa memilih sahabat supaya kita lebih berdaya maju dan mampu melangkah jauh ke hadapan. Ini akan dapat membentuk modal insan yang berkemampuan memberikan sumbangan besar kepada nusa. Sahabat yang terbaik memang sukar untuk dicari, namun tidak mustahil ada di sekeliling kita. Pandanglah dengan indera yang terbuka untuk mengenali sahabat. Bersikap jujurlah kepada diri agar kita benar-benar bersahabat dengan orang yang menganggap dirinya sebahagian daripada diri kita.

No comments: