CIKGU AZHAR SALLEH

BLOG INI KHUSUS UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU, OOI CHUN PING DAN OOI DAI JING...

Monday, July 13, 2009

KARANGAN: PENCEMARAN

PENCEMARAN SUNGAI

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

KARANGAN : ISU KESIHATAN

KESIHATAN ASAS KEBAHAGIAAN

“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.

Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat. Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.

Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.

KARANGAN: GEJALA MEROKOK

GEJALA MEROKOK DALAM KALANGAN REMAJA

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

KARANGAN: ISU PELANCONGAN

ISU-ISU PELANCONGAN DI NEGARA INI

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.

· Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.

· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

· Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.
· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.


· Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.

· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN SESUATU KAWASAN BERPOTENSI SEBAGAI KAWASAN PELANCONGAN
Bentuk muka bumi:Bergunung ganang; Aktiviti mendaki gunung / tracking+cth gunung.

Udara yang nyaman dengan suhu yang rendah dan tumbuhan semula jadi yang menghijau.Jeram dan air terjun untuk mandi manda + cth lokasi.Gizar / kawah gunung berapi + cth gunung berapi.
Pantai yang berpasir sesuai untuk bersantai + cth lokasi
.Pulau / Laut yang jernih dan mempunyai terumbu karang sesuai untuk selam skuba +cth lokasi.
Kawasan paya yang kaya dengan reptilia spt buaya.Tasik buatan manusia / semula jadi sesuai untuk memancing/ berperahu+ cth tasik.Sungai yang sesuai untuk berkayak / memancing + cth sungai.
Iklim:Suhu 27 0C dan panas sepanjang tahun sesuai untuk mandi-manda +cth nama pantai.Suhu bawah 0° C pada musim dingin menyebabkan salji turun dan sesuai untuk ski.
Pemandangan yang menarik:Tumbuhan semula jadi yang menghijau dan menyamankan spt terdapat bunga reflesia.Pandangan batu kapur spt stalaktit dan stalakmit.Gua yang menarik + cth gua.Kesan sejarah + cth lokasi.Haiwan spt penyu bertelur +cth pantai.

Zoo yang menarik minat pelajar sekolah; muzium + cth.Pusat Sains spt roket ke angkasa, astronomi + ctli lokasi.
Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi spt hotel bertaraf lima bintang + cth, padang golf,pusat membeli-belah + cth; penukar wang asing.
Ketersampaian – kawasan pelancongan dihubungi dengan jalan raya keretapi /jalan laut:, feri / lapangan terbang +cth lapangan terbang / pelabuhan.
Sikap rakyat yang peramah dan masyarakat majmuk menarik pelancong.
Peranan agensi + (nama agensi + peranan).
Peranan kerajaan spt intensif cukai dari kerajaan, persidangan antarabangsa.
Kerjasama serantau spt Tahun Melawat ASEAN .
Kedudukan yang strategik / laluan perdagangan timur-barat.
Modal mencukupi untuk membina hotel, chalet dari pelabur tempatan / swasta +
Kebudayaan tempatan / seni, budaya,perayaan+cth.
Harga barangan yang murah/ dikecualikan cukai menarik pelancong.
Keselamatan terjamin/ pelancong merasa selamat/keselamatan pelancong.

KEPENTINGAN PELANCONGAN
Pendapatan negara + RM? .Memajukan bandar-bandar pelancongan spt Melaka, Kuala Kangsar.Peluang pekerjaan bagi penduduk sekitar +cth.Pemangkin kepada pembangunan kawasan pelancongan spt infrastruktur / kemudahan asas.Memajukan / menaikkan taraf jalan raya / keretapi / pelabuhan / lapangan terbang.Menggalakkan industri kraftangan / desa.Memajukan bekas lombong spt dijadikan padang golf, rekreasi +cth.Hubungan dua hala dengan negara asal pelancong.

KESAN PELANCONGAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Penebangan hutan untuk membuka kawasan pelancongan spt membina hotel, jalan raya, taman rekreasi padang golf telah mengakibatkan pelbagai.Kepupusan pokok berharga + cth pokok.Peningkatan kadar suhu kerana kurangnya proses fotosintesis yang menyebabkan bertambahnya kandungan karbon dioksida, kurangnya proses sejat peluhan; muka bumi terdedah kepada sinaran matahari.Habitat haiwan terganggu rantaian makanan haiwan terganggu -haiwan pupus + cth haiwan.Kemusnahan kawasan tadahan hujan.Tanah terdedah kepada hakisan hujan dan matahari; berlaku tanah runtuh gelangsar tanah.Bahan terhakis dialirkan ke sungai menyebabkan sungai keruh, sungai cetek, banjir kilat mudah berlaku.Sungai/pantai tercemar kerana pembuangan sampah oleh pelancong / hotel + cth sungai / pantai.Pembinaan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar dengan bahan hakisan.Kumbahan dari hotel dan chalet yang dialirkan ke sungai dan laut telah mencemarkan sungai dan laut berkenaan + cth lokasi / sungai.Terumbu karang pupus kerana diambil sebagai cenderamata.Kenderaan yang membawa pelancong mengeluarkan karbon monoksida yang mencemarkan udara; menyumbang kepada kesan rumah hijau; bunyi bising.Pelancongan di kawasan gua / kawasan batu kapur telah mengganggu hidupan spt kelawar.

USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Membanyakkan kawasan pelancongan spt pulau-pulau yang airnya jernih dan berbatu karang + cth.Membina banyak hotel yang bertaraf lima bintang, padang golf + cth.Menambah lesen agensi pelancongan.Pemuliharaan kawasan-kawasan bEsejarah, kawasan pelancongan sedia ada+cth.Membuka kawasan hutan simpan untuk trekking + cthMembuka kawasan tasik untuk aktiviti memancing,bermain bot + cth tasik.Membina chalet yang sewanya rendah untuk menarik pelancong.Promosi oleh agensi kerajaan (agensi + usaha).Mengadakan persidangan / pameran antarabangsa + cth.Membaiki jalan raya / keretapi / lapangan terbang / pelabuhan supaya kawasan pelanconan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi spt keretapi Express Langkawi penerbangan MAS ke destinasi antarabangsa.Memberi pengurangan cukai kepada syarikat pelancongan untuk memajukan kawasan baru / membina hotel kos sederhana.Mengadakan kedai bebas cukai + cth lokasi, polis pelancong untuk menjamin keselamatan pelancong.

RENCANA: TELEFON BIMBIT

LARANGAN PELAJAR MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan perkhidmatan pos yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih menjimatkan masa dan wang. Oleh itu, banyak orang menggunakan telefon untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.

Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih berusia muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit?

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah.

Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Tuntasnya, langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak. Melalui perbincangan saya di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.

RENCANA: ISU PENGANGKUTAN AWAM

ISU PENGANGKUTAN AWAM

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.


Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.

Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara.

Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan.

Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

KARANGAN: UNGKAPAN MENARIK

CONTOH UNGKAPAN MENARIK
Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.


KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an.

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat.

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti.

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.